Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts
Showing posts with label Bahasa Melayu. Show all posts

Kepentingan Amalan Membaca kepada Masyarakat

Kepentingan Amalan Membaca kepada Masyarakat


Kempen-kempen untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang kebaikan membaca perlu diteruskan dan dipelbagaikan kerana banyak kebaikannya.
Bincangkan kebaikan membaca kepada semua lapisan masyarakat terutamanya golongan remaja.

Pada era globalisasi ini, pendidikan dalam semua lapisan masyarakat semakin penting dan diutamakan. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memupuk amalan membaca namun, budaya membaca dalam masyarakat masih rendah lagi. Melalui pembacaan, seseorang dapat memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang secara tidak langsung dapat membantu memajukan negara. Dengan ini, isu budaya membaca dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan. Jika budaya tersebut dibiarkan begitu sahaja hasrat masyarakat untuk menjadikan negara kita negara maju pasti akan terganggu. Pengamalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat akan mendatangkan pelbagai faedah terhadap diri kita. Oleh itu, semua lapisan masyarakat haruslah berusaha mengamalkan budaya membaca kerana Membaca Jambatan Ilmu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa dengan membaca, seseorang akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Hal ini kerana terdapat berbagai-bagai maklumat termasuk isu semasa dan pengetahuan tentang kehidupan harian yang terdapat di dalam buku, majalah dan surat khabar. Terdapat banyak bahan bacaan telah dipasarkan di pasaran. Ibu bapa haruslah sanggup membelikan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak dan diri sendiri. Dengan membaca, seseorang dapat meneroka pelbagai ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk mencapai kejayaan kerana Bangsa Membaca Bangsa Berjaya. Sewajarnya masyarakat rajin berusaha dalam memupuk amalan membaca dan seterusnya menjayakan kempen-kempen yang telah dianjurkan oleh kerajaan tentang amalan membaca. Pembacaan yang luas juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorang. Oleh itu, masyarakat hendaklah rajin membaca supaya dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

Selain itu, membaca akan membantu menambahkan perbendaharaan katayang kita miliki. Hal ini kerana dengan membaca kita akan menemukan pelbagai jenis perkataan baharu. Jika kita membaca bahan bacaan yang berkaitan dengan bidang Sains kita akan mengenali lebih banyak istilah atau kosa kata baharu dalam bidang berkenaan seperti Anemia dan X-ray. Malah, apabila seseorang telah mengenali banyak perbendaharaan kata, mereka akan dapat bertutur dengan lancar dalam bahasa berkenaan. Individu itu juga akan dapat menguasai sesuatu bahasa dengan mudah. Penguasaan perbendaharaan kata sangat berguna dalam menongkah arus globalisasi kini. Persaingan antara masyarakat dalam pelbagai disiplin ilmu juga akan menjadi lebih mudah. Dengan ini, kita haruslah rajin membaca supaya dapat menambahkan perbendaharan kata dalam minda kita.

Tambahan pula, budaya membaca dapat membantu pelajar lulus dengan keputusan yang cemerlang. Hal ini demikian kerana pembacaan bahan bacaan yang banyak dapat menambahkan pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran. Terdapat juga mata pelajaran tertentu yang memerlukan pembacaan yang banyak. Sebagai contoh, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sejarah. Mata pelajaran tersebut memerlukan pembacaan yang luas kerana kita akan dapat maklumat atau isu semasa yang amat berguna dalam penulisan esei. Pembacaan boleh dilakukan di perpustakaan mahupun di rumah. Dengan ini, perpustakaan hendaklah dinaik taraf dengan kemudahan yang lebih selesa seperti meja, kerusi, penghawa dingin dan kemudahan ICT supaya pelajar-pelajar dapat menjalankan pembacaan mereka dalam keadaan yang kondusif. Secara eksplisit, pelajar akan mengingati lebih banyak ilmu pengetahuan daripada bahan bacaan tersebut. Pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang rajin membaca. Oleh itu, semua pelajar hendaklah menjadikan tabiat membaca sebagai rutin harian agar mendapat keputusan yang cemerlang.

Membaca juga dapat memenuhi masa lapang kita. Masa lapang ialah masa senggang antara dua pekerjaan. Masa lapang perlu diisi dengan perkara yang berfaedah. Kita boleh menjadikan amalan membaca sebagai hobi kita. Selain membaca, kita boleh menjadikan perkara lain sebagai hobi sekiranya perkara itu berfaedah. Terdapat 24 jam diperuntukkan kepada seseorang, namun masa yang singkat itu sememangnya tidak cukup untuk kita melaksanakan pelbagai aktiviti. Dengan ini, kita haruslah menggunakan masa lapang dengan efisien kerana masa itu emas. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai masa untuk membaca, mereka boleh membaca ketika menunggu bas. Oleh itu, sebagai insan yang begitu mengutamakan masa mereka seharusnya mengisi masa dengan amalan membaca.

Di samping itu, budaya membaca dapat membantu memajukan negara. Hal ini demikian kerana tokoh-tokoh yang pakar dalam bidang tertentu dapat membantu meningkatkan ekonomi negara kita. Lanjutan itu, negara kita dapat membangun dengan pesat. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan banyak ciptaan baharu direka. Sebagai contoh, negara Jepun yang maju dalam bidang sains dan teknologi telah mencipta pelbagai jenis barangan yang berfungsi secara automatik. Membaca akan menambahkan ilmu pengetahuan kita dan ilmu-ilmu yang diperoleh ini bolehlah digunakan dalam memajukan sektor-sektor tertentu seperti sektor pelancongan. Apabila sektor-sektor dibangunkan, ekonomi negara kita akan pesat membangun seperticendawan tumbuh selepas hujan. Secara umumnya, negara kita akan layak bersaing dengan negara maju yang lain. Kemajuan negara pula perlu disusuli dengan budaya menulis buku. Oleh itu, kita hendaklah rajin membaca supaya tanah air kita dapat dibangunkan dan dimajukan. Malah, kita dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik.

Kesimpulannya, budaya membaca banyak mempunyai faedah kepada individu mahupun negara. Melalui membaca kita akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita. Ilmu pengetahuan yang diperoleh itu bukan sahaja dapat membantu seseorang mendapat keputusan yang cemerlang malah dapat memajukan negara. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca. Hal ini disebabkan budaya membaca perlu dipupuk sejak anak-anak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa juga bertanggungjawab menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan banyak membaca buku. Selain itu, pihak kerajaan perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan.

.

Kesan penyalahgunaan dadah dan langkah-langlah mengatasinya


Kesan penyalahgunaan dadah dan langkah-langlah mengatasinya

Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi. Kini, setelah 30 tahun berlalu, gejala ini masih belum dapat dibendung sepenuhnya, malah semakin serius. Penyalahgunaan dadah kini merangkumi jenis dadah bukan sintetik (seperti heroin, morfin, candu dan ganja) dan jenis sintetik (seperti syabu, pil psikotropik, ecstasy dan amphetamine). Jumlah penagih dadah terkumpul yang direkodkan oleh Agensi Dadah Kebangsaan (A.D.K.) terus meningkat saban tahun.

Gejala dadah membawa pelbagai kos dan kesan buruk kepada negara. Kebanyakan penagih dadah merupakan golongan belia berumur di antara 18 hingga 40 tahun. Kumpulan muda ini merupakan tenaga penggerak yang diperlukan bagi usaha pembangunan negara. Selain itu, masalah penyalahgunaan dadah mempunyai kaitan dengan kejadian jenayah. Badan-badan bukan kerajaan yang terlibat menganggarkan kira-kira 50 peratus daripada banduan yang dipenjarakan ada hubung-kait dengan isu dadah. Gejala dadah ini juga mengenakan kos secara langsung dan tidak langsung kepada negara, seperti kos pengawasan polis, kos rawatan dan kebajikan para penagih, dan kos tambahan kepada sistem kesihatan nasional.

Kejadian penyakit h.i.v./aids juga bertambah ketara disebabkan masalah penyalahgunaan dadah. Ini berpunca daripada amalan perkongsian jarum yang berleluasa dikalangan penagih-penagih dadah. Sebanyak 51,256 kes h.i.v./aids telah dilaporkan di dalam negara semenjak tahun 1986. Lebih membimbangkan, kejadian penyakit ini telah bertambah pada kadar yang lebih tinggi dewasa ini. Pada tahun lepas, purata sebanyak 19 kes baru telah dilaporkan setiap hari, berbanding 13 kes baru pada tahun 2001. Di dalam hal ini, sebanyak 77 peratus daripada mereka yang mengidap penyakit h.i.v./aids merupakan penagih dadah. Justeru, usaha-usaha membendung gejala dadah tidak dapat dipisahkan daripada usaha-usaha untuk menangani penyakit h.i.v./aids.

Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengatasi gejala dadah. Kita telah membina infrastruktur yang serba lengkap, termasuk kemudahan hospital dan 28 pusat serenti di seluruh negara. Kita telah menggubal antara undang-undang anti-dadah yang paling berat di dunia. Kita juga telah mendirikan agensi- agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab dan kuasa penuh untuk menangani masalah dadah.

Walaupun begitu, usaha-usaha kita belum membuahkan hasil yang memuaskan. Bilangan penagih dadah semakin ramai. Kini kita berhadapan dengan dadah-dadah sintetik baru yang lebih merbahaya, dan kejadian-kejadian lain seperti penyalahgunaan ubat batuk dan aktiviti menghidu glu. Dalam pada itu, usaha-usaha rawatan dan pemulihan penagih dadah tidak berjaya seperti yang diharapkan. Kadar penagih yang telah mula menagih dadah semula (iaitu "relapse rate") selepas melalui rawatan dan pemulihan begitu tinggi (dianggarkan sekitar 70 peratus oleh badan- badan N.G.O.), walaupun kita sudah mempunyai pengalaman kira-kira 30 tahun dalam usaha rawatan seperti ini.

Sebenarnya, masa telah berlalu dan cabaran-cabaran kita telah berubah. Oleh itu, kita perlu mengkaji semula cara kita menangani gejala dadah dan memperbaharui pemikiran kita di dalam hal ini. Antara lain, kita perlu menilai semula kaedah dan tindakan agensi kerajaan, penglibatan pihak-pihak N.G.O. dan bekas-bekas penagih dadah, tanggungjawab ibu bapa dan pemimpin masyarakat, tugas dan fungsi majikan dan sektor swasta, serta peranan media di dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah.

Walaupun begitu, kerajaan akan tetap bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang negara berkaitan dadah. Pihak berkuasa negara telahpun mencapai banyak kejayaan dalam gerakan menghapuskan kegiatan pengedaran dadah. Tahun lalu, seramai 25,906 orang telah ditangkap di bawah akta-akta yang berkaitan, termasuk 2,167 orang di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan). Agensi-agensi penguatkuasa juga telah berjaya mengesan dan merampas kuantiti dadah yang tinggi sejak akhir-akhir ini. Saya ingin mengucapkan syabas kepada agensi-agensi tersebut. Usaha ini perlu diteruskan, malah dipertingkatkan lagi.

Dari segi penagihan dadah pula, kita perlu berganjak daripada fokus yang menekankan aspek jenayah/punitif bagi penagih dadah, kepada pendekatan memerangi `penyakit' penagihan dadah yang boleh dipulihkan melalui rawatan. Kita bersimpati dan berasa sedih kerana begitu ramai anak- anak muda yang telah sesat dan terjebak ke arah penyalahgunaan dadah. Penyakit ini perlu dirawat dan dihapuskan, agar generasi akan datang berupaya menjauhkan diri daripada gejala ini. Justeru, pusat-pusat rawatan dadah perlu mempertingkatkan keupayaan mereka untuk menjalankan kaunseling dan memulihkan penagih-penagih dadah dengan lebih berkesan.

Masyarakat juga perlu merubah pemikiran mereka tentang dadah. Masalah penyalahgunaan dadah adalah masalah bersama, dan bukan masalah pihak berkuasa semata- mata. Sesungguhnya, masalah dadah tidak mengenal batasan politik, agama, bangsa, sosial dan kebudayaan. Ini bermakna perjuangan memerangi dadah memerlukan penglibatan secara total. Oleh itu, semua pihak perlu berkongsi tanggungjawab dan kumpulan yang akan berusaha membasmi dadah perlu diperbesarkan. Antara lain, kita harus lebih melibatkan badan-badan bukan kerajaan dalam usaha ini, dan mempertingkatkan lagi hubungan kerjasama antara pihak berkuasa dan pelbagai badan bukan kerajaan yang terbabit.

Pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain, termasuk ketua-ketua kampung dan para guru, akan turut bersama di dalam usaha ini. Sebenarnya, pendidikan adalah salah satu mekanisme terbaik dalam menangani masalah ini. Kalau dilihat daripada profil penagih yang dikesan, 72 peratus daripada mereka hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga. Sekiranya kita mempertingkatkan pendidikan di kalangan anak-anak muda, baik dari segi pendidikan khusus mengenai dadah mahupun pendidikan am, kita akan dapat mengawal gejala ini dengan lebih baik.

Walaupun institusi keluarga kini menghadapi pelbagai cabaran getir akibat perubahan-perubahan ekonomi, sosial dan teknologi yang sedang melanda, namun penglibatan ibu bapa dan lain-lain ahli keluarga amat diperlukan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang berkesan dalam memberi kasih sayang dan penjagaan kepada anak-anak mereka, agar anak-anak itu tidak terperangkap di dalam gejala dadah.

Selain aspek pencegahan, pihak keluarga juga perlu memainkan peranan dalam memulihkan ahli keluarga yang telah menjadi penagih dadah. Bekas-bekas penagih yang telah melalui rawatan haruslah diterima balik ke pangkuan keluarga masing-masing. Saya amat khuatir sekiranya perasaan prasangka terhadap para penagih menebal di kalangan ahli-ahli keluarga sendiri, maka mereka akan berasa tersisih dan akan mudah kembali kepada penyalahgunaan dadah. Kita harus sedar dan memberikan mereka harapan dan peluang untuk memulakan kehidupan baru.

Semua pihak perlu melibatkan diri dalam usaha menangani gejala dadah. Apa yang diperlukan ialah penjagaan yang berterusan dalam hal ini, atau apa yang disebut sebagai "continuum of care". Sekiranya terdapat kelemahan dalam mana-mana aspek pencegahan atau rawatan, maka akan lemahlah seluruh usaha kita untuk membendung dadah.

Konklusinya pendekatan yang strategik, menyeluruh dan bersepadu perlu diambil dalam memerangi dadah. Semua agensi, badan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang lain haruslah bekerjasama dan menyelaras usaha-usaha mereka. Idea-idea baru perlu difikirkan untuk memberi nafas segar kepada usaha-usaha kita. Pihak kementerian dalam negeri sendiri sedang berusaha untuk melaksanakan beberapa program baru, termasuk menjadikan pusat serenti sebagai anak angkat kepada institusi pengajian tinggi (I.P.T.); menempatkan penagih (yang berada di fasa pra-pembebasan) di sektor swasta, seperti di kilang-kilang; mengadakan program khidmat masyarakat oleh penghuni pusat serenti; menerokai modul rawatan yang baru, dan lain-lain lagi. 

.

Latihan Sistem Bahasa 5-Soalan Kata Ganda Penuh


Latihan Sistem Bahasa 5-Soalan Kata Ganda Penuh


Isi tempat kosong denga jawapan yang paling sesuai.

1 Ramai yang mengetahui bahawa __________tidak baik untuk.
A pedas-pedas C gula-gula
B paru-paru D guli-guli

2 Nenek menyediakan makanan yang _______ setiap kali kami pulang ke kampung.
A penuh-penuh C enak-enak
B cantik-cantik D lauk-lauk

3 Adik berlari _________ mendapatkan ayah yang baru pulang dari kerja.
A kedek-kedek C kelek-kelek
B lincah-lincah D lama-lama

4 Cadangan saya untuk menambah kolam ikan di tman sains ditolak _________ oleh guru besar.
A mentah-mentah C masing-masing
B masak-masak D molek-molek

5 “ __________ bekalan air di kampung ini terputus selama beberapa hari,” kata salah seorang penduduk kepada wartawan.
A kadang-kadang C jangan-jangan
B lambat-lambat D jarak-jarak

6 Pertandingan memasak makanan tradisional ________ kali diadakan di kawasan perumahan saya.
A lapang-lapang C lama-lama
B jarang-jarang D satu-satu

7 Ayah memandu kereta dengan ________ untuk mengelakkan kemalangan.
A henti-henti C lama-lama
B jarak-jarak D hati-hati

8 Irine tidak ______ bercerita tentang pengalamannya melancong ke luar negara.
A masak-masak C cukupcukup
B lancar-lancar D habis-habis

9 Petani itu meletakkan __________ di sawahnya untuk menakut-nakutkan burung.
A bunga-bunga C kayu-kayu
B orang-orang D para-para

10 Kita perlu berfikir _________ sebelum membuat sebarang keputusan.
A masak-masak C tajam-tajam
B penuh-penuh D tebal-tebal

Jawapan
1C 2C 3A 4A 5A 6C 7D 8D 9B 10A

Kepentingan Semangat Kejiranan

Kepentingan Semangat Kejiranan


Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu.Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat. 

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh. 

Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan. 

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara keranamemudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukur di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan. 

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara. Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa. 

Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya. Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara. 


Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat. Maka, Wawasan 2020 bukanlah lagi angan-angan Mat Jenin tetapi bakal menjadi kenyataan dalam beberapa tahun yang mendatang ini. Sesungguhnya, benarlah seperti slogan negara yang berbunyi “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh!”.

Kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)

Kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)


Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting. Teknologi ini sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi jugalah menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung jari sahaja.  Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.

Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan. Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara ke arah lebih sistematik dan teratur.  Segala urusan baik kerajaan mahupun swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan Malaysia.  Pentadbiran negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan cekap.  Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan dengan segera tanpa membuang masa. Sesungguhnya, masa itu emas. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) dan Internet membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan lancar. 

Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan pengurusan negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa belayar.  Jika dahulu ada yang merujuk keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat meramalkan keadaan cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa.  Banjir, ribut taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai manusia perlu untuk mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu sediakan payung sebelum hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan Pasifik. Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di samping berfungsi sebagai panduan.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan.  Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja sama ada di laman sembang, e-mel, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan telefon bimbit. Sesuai dengan pepatah lama, ICT mendekatkan jarak, yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan.

Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat diikuti dengan serta-merta  seperti siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak dunia dan siaran berita mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara seperti di Korea di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara langsung.  Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon, faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut berfungsi melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang gemilang.

Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah. Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan.  Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sehubungan dengan itu, selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka, hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit ibarat senjata serampang dua mata. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah menggegarkan seluruh Malaysia.  Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga, kes disiplin yang berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.

Bertitik tolak dari itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba masanya untuk negara Malaysia berjaya di peringkat kebangsaan mahupun serantau. MSC memainkan peranan penting untuk menjadi pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira pihak kerajaan ataupun pihak swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur dengan tebing, sehati seia untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke pentas dunia. Oleh tiu, Malaysia dapat duduk sama rendah, dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

.

Punca-punca Dan Langkah-langkah Mengatasi Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja

Punca-punca Dan Langkah-langkah Mengatasi Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja

Buli semakin berleluasa di sekolah kita. Keadaan ini menyebabkan masyarakat semakin gusar. Huraikan punca-punca dan langkah-langkah yang tercetus.

Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Pelajar-pelajar yang ketandusan nilai-nilai agama tidak mengenal perkara yang baik dan buruk malah tidak mempedulikan pahala dan dosa lalu sanggup menganiaya rakan-rakan sendiri tanpa rasa berdosa. Mereka juga sanggup bersikap kejam dengan memukul, memeras ugut dan menghina rakan-rakan yang lemah. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.

Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan perhatian kepada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka. Anak-anak yang kurang mendapat perhatian merasakan diri mereka tidak disayangi dan menyusahkan. Anak-anak yang berperasaan begini akan cuba mencari perhatian dengan melakukan pelbagai perkara yang tidak baik dan salah satunya membuli rakan-rakan mereka kelihatan pasif.

Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini. Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan oleh kerajaan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedarkan para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawapengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya. Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawankerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah. Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah. 

Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguhdan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi sepertimelentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duriini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia.
.

Latihan Sistem Bahasa 10 (2) – Soalan Kata Ganda Penuh

Latihan Sistem Bahasa 10 (2) – Soalan Kata Ganda Penuh 

Isi tempat kosong denga jawapan yang paling sesuai.


14 “ ________ dia anak orang kaya, dia tidak mahu berkawan dengan kita,” kata Farid kepada Kelvin.
A Mentang-mentang C Harap-harap
B Kadang-kadang D Moga-moga

15 Cikgu Linda menulis _______ karangan yang perlu dibuat oleh murid-muridnya di papan hitam.
A gambar-gambar C tajuk-tajuk
B abjad-abjad D kira-kira

16 Di dalam cahaya yang ______ itu, dia melihat seseorang cuba membuka pintu pagar rumahnya.
A sedikit-sedikit C pudar-pudar
B samar-samar D kelip-kelip

17 Penyanyi itu menyampaikan lagu yang ______ untuk menghiburkan para penonton.
A rendah-rendah C terang-terang
B rancak-rancak D pelik-pelik

18 Isteri nelayan menjemur ikan di atas ______ yang dibina di halaman rumahnya.
A papan-papan C para-para
B ruang-ruang D rak-rak

19 Tok Guru memilih pesilat yang _____ untuk menyertai pertandingan silat pada bulan hadapan.
A garang-garang C kasar-kasar
B lincah-lincah D licin-licin

20 Qistina tidak mampu membeli pakaian di butik itu kerana semuanya _______.
A murah-murah C mahal-mahal
B cantik-cantik D baru-baru

21 _______ yang ditunjukkan oleh peserta gimrama itu sungguh mengagumkan.
A Mana-mana C Cara-cara
B Siapa-siapa D Aksi-aksi

22 Dalam _______ , rupa-rupanya Adli membeli sebuah rumah banglo untuk keluarganya.
A dengar-dengar C malu-malu
B dekat-dekat D diam-diam

23 Pak Husin memesan air kopi yang _______ apabila dia minum di warung itu.
A mentah-mentah C pekat-pekat
B masam-masam D cantik-cantik

24 Buah-buahan mengandungi _______ yang penting kepada tubuh badan kita.
A langkah-langkah C ciri-ciri
B wakil-wakil D zat-zat

25 _______ yang dijual di pasar borong itu murah dan segar.
A Buku-buku C Lauk-lauk
B kuih-kuih D Ikan-ikan

26 Saya berasa kasihan melihat kebanyakan mangsa peperangan yang ______ itu.
A kurus-kurus C sihat-sihat
B bulat-bulat D nipis-nipis


Jawapan

14A 15C 16B 17C 18B 19B 20C 21D 22D 23C 24D 25D 26A

.

Latihan Sistem Bahasa 10 (1) – Soalan Kata Ganda Penuh

Latihan Sistem Bahasa 10 (1) – Soalan Kata Ganda Penuh 

Isi tempat kosong denga jawapan yang paling sesuai.


1 Ivy, Mirrah dan Dewi merupakan _________ saya semasa menuntut di Universiti Putra Malaysia dahulu.
A kakak-kakak C guru-guru
B rakan-rakan D jiran-jiran

2 Saya sentiasa berdoa ________ Mak Cik Jinah sembuh daripada penyakitnya.
A cukup-cukup C moga-moga
B tegap-tegap D kuat-kuat

3 Adik makan asikrim secara ________ kerana takut dimarahi oleh ibu.
A sembunyi-sembunyi C sekat-sekat
B gelap-gelap D jauh-jauh

4 Usia Nirmala ________ 12 tahun pada tahun April nanti.
A padat-padat C genap-genap
B nyaris-nyaris D bulat-bulat

5 ________ kaum ibu di kampung ini mahir menganyam tikar.
A Macam-macam C Siapa-siapa
B Masing-masing D Rata-rata

6 Buku yang dimiliki oleh Kok Seng ______belaka.
A keras-keras C tebal-tebal
B kasar-kasar D nipis-nipis

7 Badan saya _______ setelah mendaki Gunung Kinabalu yang tinggi itu.
A lembik-lembik C carik-carik
B gemuk-gemuk D sakit-sakit

8 Dia menatap gambar ibu yang dirindui itu _______.
A lambat-lambat C lama-lama
B hampir-hampir D jelas-jelas

9 Saya ______ untuk membuat kuih tradisional itu tetapi tidak menjadi.
A susah-susah C agak-agak
B takut-takut D cuba-cuba

10 Kuih karipap yang baru lepas digoreng itu ______ belaka.
A comel-comel C cantik-cantik
B panas-panas D pahit-pahit

11 ______ petang mereka berlatih bermain bola sepak di padang.
A Siang-siang C Tahu-tahu
B Asyik-asyik D Tiap-tiap

12 Harga telefon bimbit itu masih tidak _______ walaupun telah lama berada di pasaran.
A sedikit-sedikit C nipis-nipis
B turun-turun D laris-laris

13 Pembedahan pintasan jantung itu dilakukan oleh ______ perubatan di Institut Jantung Negara.
A pakar-pakar C handal-handal
B hebat-hebat D wakil-wakil

Jawapan

1B 2 C 3A 4C 5D 6C 7D 8C 9D 10B 11D 12B 13A

.